Cadangan mansuh Dewan Negara satu penghinaan


KUALA LUMPUR: Senator Datuk Boon Som Inong menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memansuhkan Dewan Negara sebagai satu penghinaan.

Beliau berkata selain menghina Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kewujudan dua Majlis Parlimen untuk menggubal undang-undang, ia turut menghina Yang di-Pertuan Agong yang melantik anggota Dewan Negara.

"Mengikut Perkara 45 (2), ahli-ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong adalah orang yang pada pendapat Seri Paduka telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau telah mencapai keunggulan dalam profesion, perdagangan, perindustrian, pertanian, aktiviti kebudayaan dan perkhidmatan sosial serta mewakili kepentingan kaum minoriti dan Orang Asli.

"Oleh itu, kenyataan Karpal Singh menggambarkan bahawa perlantikan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong itu sebagai sia-sia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini sebagai membalas kenyataan yang dibuat Karpal pada 18 Mei lepas.

Boon berkata kenyataan Karpal bahawa Dewan Negara menyebabkan rakyat menanggung perbelanjaan yang tidak berkepentingan juga adalah keterlaluan dan tidak berasas sama sekali.

Katanya kewujudan Dewan Negara adalah bagi mengimbangi penggubalan undang-undang oleh anggota Dewan Rakyat yang dipilih menerusi proses pilihan raya.

"Memandangkan anggota Dewan Negara terdiri daripada wakil setiap negeri, mewakili pelbagai profesion di dalam negara serta kaum minorirti seperti orang asli dan masyarakat Siam, maka mereka mempunyai hak dan peluang untuk memberikan pandangan terhadap undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat," katanya.

Boon, yang dilantik sebagai Senator mewakili masyarakat Siam, berkata beliau sendiri gembira kerana berpeluang mengetengahkan isu serta masalah yang dihadapi
masyarakat berkenaan yang akhirnya mendapat perhatian kerajaan.

Beliau juga menyifatkan percubaan memansuhkan Dewan Negara sebagai cubaan menafikan kebebasan hak bersuara kaum minoriti.

Justeru, dengan tanggapan buruk yang diberi oleh Karpal terhadap Dewan Negara, beliau mencabar anggota Parlimen Bukit Gelugor itu mengarahkan semua Senator yang dilantik mewakili negeri yang diperintah Pakatan Rakyat meletakkan jawatan dan tidak lagi menghantar wakil mereka ke Dewan itu pada masa depan.

Dalam pada itu, Boon berkata pelantikan anggota Kabinet adalah hak istimewa Perdana Menteri, termasuk jika dilantik daripada kalangan anggota Dewan Negara, yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya tuduhan Karpal bahawa Perdana Menteri melantik beberapa anggota Kabinet melalui 'pintu belakang' adalah keterlaluan dan menghina, selain cuba meracuni fikiran rakyat dan meragui kebijaksanaan Perdana Menteri serta mereka yang dilantik.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana