PRU13: PR hanya berjanji dan membenci...


Matlamat perjuangan PAS ialah mewujudkan pemerintahan Islam. Noktah. Gertak, sergah atau ugutlah PAS, ia tetap mengatakan ia hanya mahu Islam. Jika diheret lebih jauh, wira PAS sanggup menyabung nyawa. Itu jihad baginya.
Namun PAS tidak pernah memerintah negara ini. Maka segala apa yang diisytiharkannya untuk Islam masih di peringkat azam, iman dan janji. PAS belum pernah berkesempatan untuk membuktikan keazaman dan keimanannya itu.
Jika ada kesempatan untuk PAS menterjemahkan niat, perancangan dan strategi yang kini dijenamakan sebagai tahluf siasi ialah ketika PAS berada dalam tempoh bersenggama dengan Umno dan parti-parti lain dalam Barisan Nasional kira-kira 30 tahun lalu.
Kini PAS semakin yakin ia tetap mahu dan mampu melaksanakan tuntutan Islam untuk memerintah Malaysia dengan adil berpaksikan konsep berkebajikan. Maka ia telah memilih Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang dikemudikan Lim Kit Siang sebagai rakan seperjuangan.
Lantas wajarlah disimpulkan bahawa sebelum berhasil meyakinkan PKR dan DAP untuk bersetuju dan berkongsi jiwa Islamnya, PAS setakat ini hanya mampu berjanji akan menjadi parti Islam yang baik dan akan patuh pada janji yang ditaburkan selama ini.
Namun bagaimana jika PKR dan DAP keberatan untuk berkongsi idealisme PAS? Bibit sejarah yang mula bercambah hari ini menunjukkan bahawa kedua-dua PKR dan DAP memang kurang selesa dengan “kedegilan” PAS dan matlamat perjuangannya ini.
DAP terus ragui PAS
Dalilnya hingga hari ini, DAP belum terbuka hatinya untuk mengizinkan PAS “membuktikan” kesyumulan Islam yang hendak diajak rakyat Malaysia hayati, tidak kira mereka itu muslim atau bukan. Malah dalam kes tindakan undang-undang kerajaan PAS Kelantan ke atas tukang gunting yang memotong rambut pelanggan yang bukan muhrim, DAP masih menuntut supaya PAS mempertimbangkan semula pelaksanaannya!
PKR pula seperti biasa tidak ghairah masuk campur silang pendapat di antara PAS dan DAP. Itu adalah soal hak. PKR amat menganuti faham hak kebebasan bersuara dan mengambil sikap orang lain harus menghormati pandangan kedua-dua pihak. Akhirnya, PKR tidak mungkin boleh diharap menjadi kawan yang baik atau pengadil yang saksama.
Maka seperti PAS, apa yang boleh diketengahkan oleh kedua-dua rakan kongsi PAS dalam Pakatan Rakyat ialah janji ia akan bersikap adil dan mengutamakan kebajikan semua pihak.
Lantas, tidaklah sukar dibayangkan halatuju Pakatan Rakyat. Lantaran berpura menghormati pegangan dan prinsip orang lain, sikap menyapu masalah ke bawah permaidani ini lambat laun akan semakin melebar dan mengundang padah yang lebih besar.
Terlalu banyak contoh sejarah yang boleh diketengahkan betapa dalam pengurusan idea dan prinsip perlu ada ketegasan dan perlu ada hiraki kuasa.
Malangnya, dalam Pakatan Rakyat, hiraki itu masih kabur. Dalam soal memilih tekong yang akan memulakan sepak mula permainan politik sebuah kerajaan, PAS dan PKR serta DAP sudah tidak sehaluan tentang siapa wajar jadi perdana menteri. Bayangkan jika benar-benar mereka menawan Putrajaya, tidak mustahil perang saudara seMalaysia akan berlaku.
Dalam perkataan lain tidak mustahil perbezaan prinsip dan pandangan hidup akan menjurus kepada tindakan untuk memperkukuh hujah bersandarkan pemikiran hegemoni agama dan bangsa. Jika itu berlaku maka akan berantakanlah Malaysia!
PAS, PKR, DAP terus berjanji
Seperti PAS, PKR dan DAP hanya mampu berjanji akan lebih demokratik, adil dan mengutamakan kebajikan untuk rakyat. Namun realitinya sudah lebih empat tahun memerintah masalah asas seperti perumahan, kemudahan infrastruktur dan juga kemiskinan belum terlerai di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.
Di Kelantan isu bekalan air bersih, melatih qadi, hakim, pendakwa raya Islam yang boleh melaksanakan hukum hudud dan sistem pentarbiyahan yang berstruktur masih belum mampu diperkasakan di Kelantan walau sudah 22 tahun PAS memerintah.
Justeru itu rakyat, khususnya pengundi, haruslah insaf bahawa apabila memasuki pilihanraya umum ke-13 yang boleh berlaku bila-bila masa dalam tempoh enam bulan akan datang, Pakatan Rakyat sebenarnya memasuki gelanggang dengan hanya janji belaka.
Pakatan Rakyat berhujah, jika tidak diberi peluang memerintah kerajaan persekutuan bagaimana hendak buktikan bahawa semua yang dijanjikan boleh dilaksanakan.
Soalnya ialah, baik PAS, mahupun DAP dan PKR, masing-masing telah diberi peluang oleh rakyat untuk memerintah di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan, namun hampir tamat mandat yang diberikan, Pakatan Rakyat masih menggunakan alasan yang sama – kuasa (undang-undang dan pentadbiran) yang ada pada mereka agak terhad.
Bayangkan bagaimana dan apa yang boleh dilakukan oleh Pakatan Rakyat jika ia berkuasa penuh? Apakah akan terbangun sebuah negara yang benar-benar berkebajikan atau sebuah kerajaan yang tidak berhenti mengulang alasan yang sama – kuasa kami masih terhad dan perlu kuasa yang lebih menyeluruh? Sehingga kuasa penuh diperolehi, janji hanya akan tinggal janji.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana